Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang
paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam
hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka
menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang-
binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang
sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.
Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk
mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman
telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar
kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas,
menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama
berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan.
Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang
sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil
terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut
telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.
Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila
terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang
sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata
didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat
makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang
Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun
kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu
kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun
buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang
sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai
ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang
Kancil.
Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk
menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya.
Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik
berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila
hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa
berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang
berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar
kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati
cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang
menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil"
sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke
mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira
untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak
sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil
lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak
sampaikan".
Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman
supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini
kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu
semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan
semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh
Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini.
"Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai
untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara
itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan.
Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai
berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya
sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya
menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi
hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi
"Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing
sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".
Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi
Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya
tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang
Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat
ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung
dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku
ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga
kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana
kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak
kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah
kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang
akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan
malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah
dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa
akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari
ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan
terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan
diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang
sedang masak ranum itu.
Sekian
0 komentar:
Posting Komentar
Berbagi Bersama Itu Indah